Category Archives: Hadis & Hadis Qudsi

Amalan 10 hari pertama bulan Zulhijjah

Hari ini mula masuk bulan Zulhijjah 1434 H, oleh itu perbanyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid serta berpuasa sunat terutamanya pada hari ke-9 Zulhijjah di samping amal soleh yang lain, seperti yang dinyatakan dalam hadis-hadis berikut:

“Dari Umar r.a., bahwa Nabi SAW bersabda : Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya daripada sepuluh hari (Dzulhijjah) ini. Maka perbanyaklah pada saat itu tahlil, takbir dan tahmid.” (HR Ahmad)

“Diriwayatkan dari Ibn Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah).” (HR al-Bukhari)

“Diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di Hari Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya.” (HR Ahmad dan an-Nasa’ie)

“Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah orang yang tidak mendapat bahagian kebaikan dalam hari-hari sepuluh, jagalah terutama berpuasa pada hari kesembilan Zulhijjah sebab ia mengandungi kebaikan (keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dapat dihitung oleh ahli hitung.” (HR Abu Dardaa)

Para Wali Allah

Salam Ramadhan kepada semua ikhwan tariqat Syatariah, semoga amal ibadat dalam bulan Ramadhan yang mulia dan penuh barokah ini mendapat keredhaan, maghfirah dan ganjaran daripada Allah SWT.

“Rasulullah SAW bersabda: (ertinya) “Sesungguhnya bagi Allah ada tiga ratus orang dari kalangan manusia ini yang hati mereka itu seperti hati Nabi Adam a.s., dan bagi Allah itu ada tujuh orang di kalangan manusia yang hati mereka itu seperti hati Nabi Ibrahim a.s., dan bagi Allah itu ada empat puluh orang di kalangan manusia yang mana hati mereka itu seperti hati Nabi Musa a.s., dan bagi Allah itu ada lima orang di kalangan manusia yang hati mereka seperti hati Jibril a.s., dan bagi Allah itu ada tiga orang di kalangan manusia yang mana hati mereka itu seperti hati Mikail a.s., dan bagi Allah itu ada seorang di kalangan manusia yang mana hatinya seperti hati Israfil a.s. Apabila wafat yang seorang ini, maka Allah akan menggantikannya (dengan melantik) salah seorang dari golongan yang tiga orang itu. Apabila wafat seorang dari yang tiga orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) salah seorang daripada yang lima orang itu. Apabila wafat seorang daripada yang lima orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) salah seorang daripada yang tujuh orang itu. Apabila wafat seorang daripada tujuh orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) salah seorang daripada yang empat puluh orang itu. Dan apabila wafat seorang daripada yang empat puluh orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) salah seorang daripada yang tiga ratus orang itu. Dan apabila wafat seorang daripada yang tiga ratus orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) seorang daripada kalangan orang ramai. Maka dengan para wali tersebut itulah seseorang itu dihidupkan dan dimatikan, diturunkan hujan, dihidupkan tumbuh-tumbuhan dan dihalang bala daripada menimpa umat manusia. Abdullah bin Mas’ud pun ditanya: Bagaimana dikatakan bahawa dengan para wali itulah seseorang itu dihidupkan dan dimatikan? Beliau menjawab: Kerana para wali itu memohon kepada Allah supaya Allah meramaikan bilangan manusia, maka manusia pun menjadi bertambah ramai. Mereka itu berdoa kepada Allah agar orang-orang yang zalim dan tidak berbelas kasihan dibinasakan maka mereka itupun dihancurkan. Mereka memohon supaya diturunkan hujan maka diturunkan hujan. Mereka memohon agar disuburkan bumi makan suburlah bumi ini. Mereka itu berdoa maka dengan doa mereka itu dijauhkan berbagai rupa bala.” (HR Abu Na’im dan Ibn ‘Asakir)

Terdapat satu lagi hadis, di mana Rasulullah SAW bersabda: (ertinya) “Orang-orang yang terbaik dari kalangan umatku pada setiap kurun itu ialah seramai lima ratus orang.”
(HR Abu Na’im).

Mengikut Syeikh al-Hujwiri dalam kitabnya, terdapat seramai empat ribu wali yang sentiasa hidup di dunia ini dan sentiasa tidak dapat diketahui oleh orang ramai kerana mereka dilindungi dan disembunyikan oleh Allah. Beliau juga ada menyebut bahawa ada 300 orang wali yang bergelar al-Akhyar, 40 orang wali yang bergelar al-Abdal, 7 orang wali yang bergelar al-Abrar, 4 orang wali yang bergelar al-Awtad, 3 orang wali yang bergelar al-Nuqaba, dan seorang wali yang bergelar al-Qutub dan al-Ghauth. Mereka yang termasuk dalam golongan ini mengenali antara satu sama lain.

Mengenai masalah wali yang dilindungi dan disembunyikan oleh Allah seperti yang tersebut di atas, Ibn ‘Athaillah menyebut: “Maha Suci Allah yang telah menutup berbagai rahsia wali dengan ternampaknya sifat-sifat manusia biasa.”

Menurut Syeikh Abu Abbas al-Mursi bahawa jika Allah bukakan dan perlihatkan rahsia atau nur kewalian itu nescaya boleh merosakkan tauhid wali itu sendiri. Misalnya, al-Hallaj yang pernah mengucapkan: “Maha Suci Engkau, Maha Suci Aku” adalah ketika nur kewaliannya tajalli pada dirinya.

Sumber: Membentuk Jiwa Sufi (Dr. Hj. Jahid Hj. sidek)

Salam Maulidur Rasul 1434H

Admin mengucapkan Selamat menyambut Hari Keputeraan Junjungan Nabi Muhammad SAW kepada semua ikhwan Tariqat Syatariah, mari kita perbanyakkan solawat semoga mendapat syafaat baginda di akhirat nanti.

Di antara mafhum hadis tentang kelebihan solawat ialah:

1. “Barangsiapa yang bersolawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat.” (HR Tabrani)

2. “Barangsiapa bersolawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa bersolawat kepadaku dari jauh maka, solawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan, dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (HR Al Baihaqi dan Al Khatib)

3. “Barangsiapa bersolawat kepadaku satu kali, maka Allah bersolawat kepadanya sepuluh kali solawat, dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (HR Ahmad, Nasai dan Al Hakim)

4. Dari Ubai bin Ka‘ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyakkan solawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari solawatku? Nabi bersabda: “Apa yang kamu kehendaki?” Kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga? ” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai, jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” la bertanya: “Apakah aku jadikan solawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (HR Ahmad, Tirmizi dan Al Hakam)

5. “Bersolawatlah kamu kepadaku, kerana solawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” (HR Ibnu Murdawaih)

6. “Barang siapa bersolawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya.” (HR Ibnu Majar dan Jabir)

7. “Barang siapa bersolawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (HR Abus Syaikh dari Anas)

8. “Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu bersolawat kepadaku.” (HR Tirmizi)