Para Wali Allah

Salam Ramadhan kepada semua ikhwan tariqat Syatariah, semoga amal ibadat dalam bulan Ramadhan yang mulia dan penuh barokah ini mendapat keredhaan, maghfirah dan ganjaran daripada Allah SWT.

“Rasulullah SAW bersabda: (ertinya) “Sesungguhnya bagi Allah ada tiga ratus orang dari kalangan manusia ini yang hati mereka itu seperti hati Nabi Adam a.s., dan bagi Allah itu ada tujuh orang di kalangan manusia yang hati mereka itu seperti hati Nabi Ibrahim a.s., dan bagi Allah itu ada empat puluh orang di kalangan manusia yang mana hati mereka itu seperti hati Nabi Musa a.s., dan bagi Allah itu ada lima orang di kalangan manusia yang hati mereka seperti hati Jibril a.s., dan bagi Allah itu ada tiga orang di kalangan manusia yang mana hati mereka itu seperti hati Mikail a.s., dan bagi Allah itu ada seorang di kalangan manusia yang mana hatinya seperti hati Israfil a.s. Apabila wafat yang seorang ini, maka Allah akan menggantikannya (dengan melantik) salah seorang dari golongan yang tiga orang itu. Apabila wafat seorang dari yang tiga orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) salah seorang daripada yang lima orang itu. Apabila wafat seorang daripada yang lima orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) salah seorang daripada yang tujuh orang itu. Apabila wafat seorang daripada tujuh orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) salah seorang daripada yang empat puluh orang itu. Dan apabila wafat seorang daripada yang empat puluh orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) salah seorang daripada yang tiga ratus orang itu. Dan apabila wafat seorang daripada yang tiga ratus orang itu maka Allah menggantikannya (dengan melantik) seorang daripada kalangan orang ramai. Maka dengan para wali tersebut itulah seseorang itu dihidupkan dan dimatikan, diturunkan hujan, dihidupkan tumbuh-tumbuhan dan dihalang bala daripada menimpa umat manusia. Abdullah bin Mas’ud pun ditanya: Bagaimana dikatakan bahawa dengan para wali itulah seseorang itu dihidupkan dan dimatikan? Beliau menjawab: Kerana para wali itu memohon kepada Allah supaya Allah meramaikan bilangan manusia, maka manusia pun menjadi bertambah ramai. Mereka itu berdoa kepada Allah agar orang-orang yang zalim dan tidak berbelas kasihan dibinasakan maka mereka itupun dihancurkan. Mereka memohon supaya diturunkan hujan maka diturunkan hujan. Mereka memohon agar disuburkan bumi makan suburlah bumi ini. Mereka itu berdoa maka dengan doa mereka itu dijauhkan berbagai rupa bala.” (HR Abu Na’im dan Ibn ‘Asakir)

Terdapat satu lagi hadis, di mana Rasulullah SAW bersabda: (ertinya) “Orang-orang yang terbaik dari kalangan umatku pada setiap kurun itu ialah seramai lima ratus orang.”
(HR Abu Na’im).

Mengikut Syeikh al-Hujwiri dalam kitabnya, terdapat seramai empat ribu wali yang sentiasa hidup di dunia ini dan sentiasa tidak dapat diketahui oleh orang ramai kerana mereka dilindungi dan disembunyikan oleh Allah. Beliau juga ada menyebut bahawa ada 300 orang wali yang bergelar al-Akhyar, 40 orang wali yang bergelar al-Abdal, 7 orang wali yang bergelar al-Abrar, 4 orang wali yang bergelar al-Awtad, 3 orang wali yang bergelar al-Nuqaba, dan seorang wali yang bergelar al-Qutub dan al-Ghauth. Mereka yang termasuk dalam golongan ini mengenali antara satu sama lain.

Mengenai masalah wali yang dilindungi dan disembunyikan oleh Allah seperti yang tersebut di atas, Ibn ‘Athaillah menyebut: “Maha Suci Allah yang telah menutup berbagai rahsia wali dengan ternampaknya sifat-sifat manusia biasa.”

Menurut Syeikh Abu Abbas al-Mursi bahawa jika Allah bukakan dan perlihatkan rahsia atau nur kewalian itu nescaya boleh merosakkan tauhid wali itu sendiri. Misalnya, al-Hallaj yang pernah mengucapkan: “Maha Suci Engkau, Maha Suci Aku” adalah ketika nur kewaliannya tajalli pada dirinya.

Sumber: Membentuk Jiwa Sufi (Dr. Hj. Jahid Hj. sidek)

Posted on August 2, 2013, in Hadis & Hadis Qudsi. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: